Kamis, 27 Agustus 2009

Amalan

Amalan, wanita dan rantai emas
Soalan 1
Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah?
Jawapan:
“Jika ditanya tentang amalan yang disukai oleh Allah, sudah tentulah amalan yang dilakukan dengan ikhlas. Apa sahaja ibadah yang dilakukan, dilihat dan dinilai oleh Allah berdasarkan keikhlasan. Kalau seseorang itu dapat lakukan dengan ikhlas sudah tentu disukai oleh-Nya. Selain itu, mereka yang banyak berdoa dan suka mengaku salah walaupun tidak bersalah amat disukai oleh Allah. Mereka akan diberi keutamaan dan diberi perhatian berbanding dengan orang lain. Kemudian, seseorang yang boleh mengelak dari melakukan dosa walaupun dalam keadaan yang amat mendesak atau segera bertaubat atas kesalahan yang tidak disengajakan juga antara orang yang disayangi oleh Allah dan Rasul-Nya. Tetapi ada lagi.....
amalan yang disukai oleh Rasulullah iaitu sembahyang di awal waktu, menyegerakan urusan jenazah dan mengahwinkan anak gadis. Perkara ini kalau dapat dilakukan oleh umat Islam, bukan sahaja Rasulullah suka bahkan Allah juga suka.
Soalan 2:
Apakah pandangan Islam terhadap wanita yang memakai pakaian kaum lain?
Jawapan:
Islam tiada pakaian rasmi, tetapi pada sesuatu kaum atau bangsa ada pakaian rasminya. Sebagai contoh, orang Melayu ada pakaian baju Melayunya, orang Cina ada pakaian cheongsamnya, orang India ada pakaiaan sarinya, orang Arab dengan qamisnya. Oleh kerana Islam tiada pakaian rasmi maka pakaiannya pengikutnya mengikut kaum atau bangsanya. Orang Melayu tentulah pakai baju Melayu dan begitu jugalah bangsa lain. Sungguhpun begitu tidak pula salah kalau sesuatu bangsa itu meniru pakaian bangsa lain. Bagaimanapun Islam telah menentukan bahawa pakaian yang mesti dipakai oleh orang Islam itu mestilah menutup aurat. Ertinya, walaupun apa jenis pakaian yang dipakainya mestilah menutup aurat; menutup kepala, dada, tangan dan kaki. Inilah bentuk pakaian yang dibenarkan oleh Islam. Untuk menjawab soalan di atas, perlulah kita menilai pakaian baju yang hendak dipakai itu memenuhi tuntutan menutup aurat atau tidak. Kalau pakaian itu dikira menutup aurat maka bolehlah dipakai. Kalau ia tidak memenuhi ciri-ciri menutup aurat maka haramlah dipakai. Kalau begitu, tidak semestinya pakaian ‘sari’ atau ‘cheongsam’ saja dibuat perbandingan, pakaian lain pun sama juga.
Soalan 3:
Saya terjumpa rantai emas yang sudah bersaluti tanah di celah-celah rumput di luar rumah sewa saya. Apa yang patut saya lakukan dengan rantai itu?
Jawapan:
Rantai emas yang anda jumpa di celah-celah rumput di luar rumah sewa anda itu berkemungkinan kepunyaan penyewa sebelum anda ataupun milik tuan punya rumah itu. Jadi untuk memudahkan kerja, serahkan saja kepada tuan punya rumah itu. Biar tuan rumah itu menyelesaikannya. Bagaimanapun, jika anda kurang yakin dengan keikhlasan tuan rumah, bolehlah dipilih salah satu dari dua cara berikut:
1- Iklankan selama setahun di tempat awam; masjid, balai raya, dewan orang ramai, pasar dan stesen bas.
2- Serahkan saja kepada pihak polis, merekalah yang sepatutnya diberikan amanah ini.
Di antara dua cara ini tentulah cara kedua lebih mudah, anda boleh berlepas tangan. Tetapi kalau dipilih cara pertama risikonya pasti ada. Anda terpaksa menjaga harta orang lain tanpa insuran selama setahun. Kemudian kalau ada orang datang menuntutnya susah pula hendak dikenal pasti pemilik yang sebenarnya. Takut-takut tersilap serah harta itu. Sungguhpun begitu, cara ini menjanjikan keuntungan kepada anda jika ianya sudah berlalu setahun tanpa dituntut. Ia menjadi milik anda. Ketika itu anda boleh lakukan apa yang dikehendaki; wakaf kepada masjid, jual, gadai atau pakai sendiri. Tapi ingat, jika dalam tempoh itu datang orang (pemilik sebenar) menuntutnya maka wajiblah diserahkan nilainya (kalau sudah dijual). Dan jika masih ada serahkan semuanya dengan senang hati. Jika anda tidak lakukan sebagaimana yang disebutkan di atas, sebaliknya menggunakan sewenang-wenangnya maka anda telah melakukan dosa. Dan jika dijual, hasil daripada jualan rantai itu adalah tidak halal. Sekiranya anda menggunakan wang itu untuk membeli makanan jadilah makanan itu haram. Ingatlah tubuh yang diisi dengan makanan yang tidak halal nerakalah tempat yang layak untuknya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar